Monday, June 30, 2014

Sukan Menembak Merupakan Prospek Pingat Emas Di Sukan Komanwel


KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Sukan menembak merupakan prospek pingat emas buat kontinjen negara pada temasya Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland, bermula bulan depan.

Ketua kontinjen negara Datuk Ong Poh Eng bagaimanapun berkata pihaknya masih menganalisis jumlah sasaran pingat yang lebih spesifik dan relevan sebelum pengumuman dibuat dalam masa terdekat.

"Sebelum ini sukan menembak mempunyai rekod yang baik dalam Sukan Komanwel, saya yakin mereka mempunyai peluang untuk meraih pingat," katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan skuad menembak dan gimnastik negara di Gimnasium III, Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, di sini hari ini.

Untuk rekod skuad menembak negara meraih dua pingat emas menerusi gandingan Nur Suryani Mohamed Taibi dan Nur Ayuni Farhana Abd Halim dalam acara 10m air pistol berpasukan wanita dan Bibiana Ng bagi acara 10m air pistol individu wanita pada temasya empat tahun lepas di New Delhi, India.

Dalam pada itu, Ong berkata sebanyak 179 atlet dan 90 pegawai daripada 16 jenis sukan akan menyertai temasya berprestij itu dari 23 Julai hingga 3 Ogos ini.

Sementara itu, Nur Suryani ketika ditemui, berkata beliau menyifatkan saingan pada Sukan Komanwel kali ini lebih mencabar berikutan beberapa perubahan peraturan dalam acara menembak.

"Kali ini penonton atau pun penyokong boleh membuat bising seperti bersorak ketika atlet sedang beraksi...jadi ini pasti akan mencabar konsentrasi kami ketika beraksi nanti.

"Kami akan menghadapi saingan sengit daripada pasukan India namun sebagai atlet saya mempunyai tanggungjawab, saya akan membuat yang terbaik di sana nanti," katanya.

Sebagai persiapan akhir, skuad menembak negara akan menyertai Siri Kejohanan Piala Dunia ISSF di China yang akan berlangsung pada 1 hingga 10 Julai ini.

No comments:

Post a Comment