Thursday, May 8, 2014

Bukan misi 'makan angin'


NAURAJ antara atlet olahraga yang sudah pun melayakkan diri secara merit ke temasya Sukan Komanwel dan Sukan Asia pada tahun ini.

PRESIDEN Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Zainal Abidin Ahmad semalam mengeluarkan amaran kepada atlet yang telah melepasi syarat kelayakan ke Sukan Asia dan Sukan Komanwel tahun ini.

Katanya, beliau tidak mahu melihat atlet negara beraksi seperti ‘makan angin’ pada dua kejohanan berprestij itu nanti.

Justeru, Zainal menegaskan, beliau tetap dengan pendiriannya untuk terus menguji atlet-atlet terbabit biarpun sudah melepasi syarat kelayakan seperti mana yang dijelaskan sebelum ini.

Ketika ini, hanya empat atlet telah mengesahkan tempat pada dua temasya tersebut iaitu pemenang pingat emas lompat tinggi Sukan SEA 2013, Nauraj Singh; jaguh lompat bergalah, Iskandar Alwi; atlet lompat jauh, Nik Lukman Hakim dan kuartet 4x400 meter wanita.

“Tiada penambahan atlet yang telah melepasi syarat kelayakan setakat ini, baru empat sahaja yang telah layak (Nauraj, Iskandar, Lukman dan kuarter 4x400m wanita).

“Saya akan tetap uji mereka dua atau tiga minggu sebelum Sukan Asia dan Komanwel. Kita kena uji juga kerana saya tak mahu mereka cuma pergi ‘melancong’ ke sana,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Dalam pada itu, Zainal berharap setiap atlet negara yang menyertai Kejohanan Olahraga Terbuka Thailand selama empat hari bermula kelmarin hingga esok dapat mencatat pencapaian yang cemerlang.

“Dua tiga hari ini mereka bertanding di Thailand (Kejohanan Olahraga Terbuka Thailand). Kita hantar 44 atlet ke sana.

“Kalau mereka dapat pecahkan rekod peribadi ataupun rekod kebangsaan, jadi secara tidak langsungnya mereka tahu boleh melakukan yang lebih baik lagi di sana nanti,” jelasnya.

Sukan Komanwel akan berlangsung di Glasgow, Scotland bermula 23 Julai hingga 3 Ogos manakala Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan pada 19 September hingga 4 Oktober.

Oleh MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH
zuhaily.badlishah@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment