Thursday, October 7, 2010

Wanita kita janji'serang Wales,


Pemain negara, Norhasikin Halim (kuning) diasak pemain New Zealand, Krystal Forgesson pada aksi di Stadium Nasional Major Dhyan Chand kelmarin. Malaysia dibelasah 5-0.


NEW DELHI - Skuad hoki wanita negara perlu mempamer aksi lebih "garang" apabila menentang Wales hari ini untuk mencari kemenangan dan menghidupkan peluang mara ke separuh akhir Sukan Komanwel XIX.

Corak permainan menyerang seperti yang dilakukan ketika berdepan Kanada, Isnin lalu harus menjadi pendekatan jurulatih, Yahaya Atan sekiranya mahu mengutip tiga mata berharga.

Selepas mengejutkan Kanada 3-2 pada aksi sulung, prestasi anak-anak buah Yahaya merudum apabila berdepan New Zealand dan dibelasah 5-0 dalam saingan kedua di Stadium Nasional Dhyan Chand kelmarin.
Di atas kertas, skuad negara mempunyai peluang baik untuk mengalahkan Wales, pasukan yang memiliki ranking dunia lebih rendah berbanding kita. Malaysia berada pada ranking ke-22 dunia, manakala Wales ke-27.

Menurut Yahaya, kemenangan ke atas Wales penting kerana selepas ini skuad negara berdepan lawan yang lebih kuat, England, pasukan No. 3 dunia, Sabtu ini.
"Menentang Wales sangat penting kerana kita perlu menang. Hanya kemenangan akan membuka peluang untuk ke separuh akhir.

"Pasukan ini akan turun dengan permainan menyerang seperti yang kami lakukan dalam perlawanan pertama ketika menentang Kanada,'' kata Yahaya.

Tambahnya lagi, pemain perlu positif dan mengekalkan momentum biarpun kalah teruk kepada New Zealand. Yahaya turut meminta pemain mengurangkan kesilapan apabila menentang Wales nanti.
"Ketika menentang New Zealand, kita mudah melepaskan gol. Dua gol dilepaskan pada babak pertama ketika berbaki lima minit sebelum melepaskan tiga gol lagi pada separuh masa kedua.


"Kesilapan ini perlu dielakkan kerana ia boleh menjejaskan moral pemain,'' katanya.
Skuad kebangsaan tidak mensasarkan pingat pada Temasya XIX, sebaliknya memasang sasaran untuk memulih imej setelah kerap menjadi pasukan belasahan.
Pada Sukan Komanwel Melbourne empat tahun lalu, skuad hoki wanita menduduki tempat keenam. - Utusan

No comments:

Post a Comment