Monday, October 4, 2010

Saya yakin temasya ini berjalan lancar - Zolkples


ZOLKPLES (kiri) tiba di New Delhi semalam bersama-sama skuad badminton negara.


KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Zolkples Embong menyuarakan keyakinan mengenai kelancaran Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, India yang akan membuka tirainya esok.
Selain laporan terkini daripada ketua kontinjen negara, Tan Sri Halil Mutalif yang cukup positif, Zolkples juga terkejut perkhidmatan yang disediakan pihak penganjur.

Katanya, tuan rumah telah melakukan banyak pembaharuan bagi memastikan temasya ini berjalan lancar meskipun sebelum ini media sering melaporkan perkara-perkara yang negatif.
"Saya terkejut dengan perkhidmatan yang disediakan penganjur terutama sebaik sahaja saya menjejakkan kaki ke Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi hari ini (semalam).

"Ia seakan-akan memberikan gambaran pertama yang sangat baik kepada saya dan juga peserta yang lain. Ia di luar jangkaan terutamanya pada pemeriksaan imigresen.
Saya percaya, penganjur telah membuat persiapan yang rapi untuk menghadapi temasya ini. Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk menjangkakan sesuatu kerana ketika ini, jumlah besar atlet serta pegawai dari negara-negara lain masih belum tiba," katanya semalam.

Begitupun menurut Zolkples, tidak ada apa yang perlu dibimbangkan dan beliau yakin temasya ini akan berjalan lancar seperti yang dijadualkan.
Mengulas aksi di padang, Zolkples berkata, setakat ini beliau masih yakin dengan kemampuan atlet negara untuk mencapai sasaran sepuluh pingat emas yang diletakkan sebelum ini.

Katanya, sasaran negara berada di landasan yang betul terutama dengan kehadiran beberapa atlet utama seperti pemain badminton No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei.
"Ketika ini, Chong Wei berada pada prestasi terbaik dan saya lihat dia seratus peratus ceria terutama selepas memenangi gelaran juara pada Terbuka Jepun baru-baru ini.

"Berdasarkan perbualan kami dalam kapal terbang tadi, saya lihat dia mempunyai semangat yang sangat tinggi dan saya yakin dia mampu mampu menyumbang pingat emas untuk negara.
"Selain Chong Wei, beberapa atlet negara seperti Mohd. Hafiz Ha- shim, Koo Kien Kiat-Tan Boon Heong (badminton), Mohd. Azizul- hasni Awang (lumba basikal) dan Amirul Hamizan Ibrahim (angkat berat) juga berada pada prestasi terbaik."

Tambah Zolkples, penarikan diri beberapa atlet terbaik dunia juga memberi sedikit kelebihan kepada atlet negara kerana keadaan ini memberi peluang kepada mereka sesama sendiri pada perlawanan akhir, khususnya bagi acara badminton.


Kosmo

No comments:

Post a Comment