Monday, October 4, 2010

'Kita mampu lepasi sasaran 10 emas'


SHABERY (kiri) beramah mesra dengan ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David (dua dari kanan) semasa melawat Perkampungan Sukan di New Delhi semalam.


MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek optimis kontinjen Malaysia mampu melepasi sasaran 10 pingat emas yang diletakkan pada Sukan Komanwel 2010.
Shabery berkata, selain prestasi semasa atlet, keyakinan itu juga disuarakan berdasarkan persiapan dan kemudahan yang disediakan pihak penganjur pada temasya Komanwel 2010 yang akan dibuka secara rasminya hari ini.

"Daripada gambaran yang diberikan pegawai dan atlet negara, saya yakin sasaran 10 pingat emas mampu direalisasikan.

"Pihak penganjur telah melakukan yang terbaik bagi memastikan temasya kali ini berjalan lancar meskipun kawalan keselamatan dianggap terlalu ketat dan membebankan.
"Malah saya juga yakin senario yang berlaku pada Sukan SEA 2009 di Laos akan berulang sekali lagi di New Delhi.

"Di Laos dulu, kita meletakan sasaran 30 pingat emas tetapi kontinjen negara berjaya membawa pulang lebih daripada itu," katanya kepada pemberita selepas meluangkan masa bertemu atlet negara dan meninjau kemudahan yang disediakan penganjur di Perkampungan Sukan semalam.

Turut serta Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong dan Ketua Kontinjen Malaysia, Tan Sri Abdul Halil Abd. Mutalif.

Menurut Shabery, apa yang dilakukan pihak penganjur bukan untuk menyusahkan atlet tetapi ia sebagai satu langkah berjaga-jaga dalam menangani kejadian yang tidak diingini.

Katanya, keselamatan atlet lebih penting dan pihak penganjur telah melakukan yang terbaik untuk memastikan kejadian yang buruk tidak berlaku sepertimana yang dilaporkan media sebelum ini.

"Sebelum ini, banyak pihak mendesak supaya Malaysia menarik diri daripada menyertai temasya ini atas beberapa faktor keselamatan.

"Begitupun, kita telah membuat keputusan yang tepat untuk terus bertanding dan tidak terpengaruh dengan beberapa laporan negatif media yang cuba untuk memperkecilkan kemampuan India menganjurkan temasya ini," katanya.

Dalam masa yang sama, Shabery berkata, atlet negara sudah bersedia sepenuhnya dan mereka tidak sabar untuk membuktikan kehebatan masing-masing.
"Semangat atlet negara sangat tinggi dan saya difahamkan mereka sudah bersedia untuk menjadi 'wira' dalam acara masing-masing.

"Manakala bagi atlet yang telah memenangi pingat pada temasya sebelum ini, mereka berazam untuk mempertahankan gelaran yang dimenangi itu," katanya.

Shabery berkata, kini sudah sampai masanya untuk atlet negara 'menuai emas' selepas bekerja keras berlatih dan membuat persiapan yang rapi sejak beberapa tahun lalu.

"Saya berharap pingat emas pertama negara akan diperoleh menerusi Amirul Hamizan Ibrahim yang akan beraksi dalam acara atlet angkat berat Isnin ini (esok)," jelasnya.



Kosmo

No comments:

Post a Comment