Thursday, October 7, 2010

'Ini perlumbaan taktikal terbaik saya'

AZIZULHASNI bersama jurulatihnya,  John Beasley (kiri) dan pengurus pasukan, Amrun Misnoh (kanan) membuat bantahan kepada juri yang membatalkan kemenangannya, semalam.
AZIZULHASNI bersama jurulatihnya, John Beasley (kiri) dan pengurus pasukan, Amrun Misnoh (kanan) membuat bantahan kepada juri yang membatalkan kemenangannya, semalam.
Saya tidak kisah jika terjatuh: Azizulhasni

TIDAK dinafikan Azizulhasni Awang mempamerkan perlumbaan taktikal terbaik dalam kejayaannya setakat ini tetapi keringat itu tidak memihak jaguh negara itu apabila terlepas peluang terbaik memenangi pingat emas semalam selepas menanggung perit gara-gara kemenangannya dibatalkan atas kesilapan ciptaan sendiri.

Namun, ikon sukan negara itu tampil menafikan dia menghimpit pelumba New Zealand, Simon Van Velthooven seperti yang didakwa komisar perlumbaan sejurus tamat saingan penuh dramatik itu di Kompleks Sukan Indira Gandhi.
“Saya amat sedih hari ini terlepas pingat emas. Saya yakin menang dan membuat ‘wheelie’, balut bendera negara di bahu dan mengangkat tangan tanda juara. Tapi apabila dibatalkan kemenangan, detik itu pantas bertukar sedih dan agak memalukan,” katanya yang tampak menahan kesedihan dengan menampilkan wajah tenang ketika ditemubual di velodrom.

Azizul berulang kali menyebut dia tidak menghimpit pelumba New Zealand itu kerana hanya membuat tindakan berani masuk ke dalam ruang kecil yang terdedah ketika itu pada pusingan terakhir dan berjaya memintas sebelum membuat kayuhan deras mencecah garisan penamat.

“Saya tidak memikirkan apa-apa ketika itu dan memotong masuk. Saya juga ambil risiko dan tidak kisah jika saya terjatuh kerana itulah peluang yang harus diambil dalam keirin.

“Ini adalah perlumbaan taktikal terbaik daripada saya setakat ini tapi sedih saya tidak berada bersama Josiah Ng di atas podium. Sukan Komanwel 2014 masih jauh tapi saya akan menyimpan kenangan ini untuk menebus rasa hampa empat tahun lagi,” katanya.
Azizul berkata, dia dapat kembali memberi fokus dan melupakan segera detik sedih ini menjelang perlumbaan pecut 200 meter bagi menebus gapaian pingat emas.


BHarian

No comments:

Post a Comment