Tuesday, October 5, 2010

Atlet tak kemas – Zolkples

NEW DELHI – Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong berkata, perbarisan kontinjen negara ketika perasmian Sukan Komanwel di sini kelmarin, tidak kemas kerana atlet dan pegawai mengabaikan aspek pemakaian.

Beliau menegaskan, tidak timbul isu mengapa kontinjen negara tidak memakai baju Melayu atau berbaju batik, semata-mata untuk menonjolkan imej Malaysia.
Sebaliknya, pakaian yang digunakan pada perbarisan kelmarin, iaitu memakai blazer hitam dan kemeja kuning, sudah memadai.

Katanya, soal apa yang hendak dipakai pada perarakan tersebut, bukan masalah tetapi aspek kurang kemas berpakaian, menyebabkan kontinjen negara nampak ‘berserabut’.
‘‘Saya nampak perbarisan kontinjen negara pada malam perasmian semalam, tidak kemas.
‘‘Ia bukan disebabkan salah memilih pakaian. Ini bukan kali pertama kita memakai blazer pada temasya sukan yang besar. Cuma semalam, saya lihat atlet tidak kemas. Blazer yang mereka pakai tidak dibutangkan. Mereka juga tidak memakai tali leher.


‘‘Ada yang bersongkok, ada yang tidak. Kalau pakai songkok pun ala kadar sahaja.
‘‘Inilah yang menyebabkan kontinjen kita nampak tidak kemas pada perarakan semalam,” katanya ketika ditemui, semalam.

Zolkples mengulas rungutan perbarisan kontinjen negara tidak kemas, kerana berpakaian bercirikan kebangsaan pada pada perasmian Sukan Komanwel di Stadium Jawaharlal Nehru, kelmarin.
Tambahnya, ini bukan kali pertama kontinjen negara yang menyertai kejohanan besar memakai blazer pada perarakan sempena majlis perasmian, tetapi tetap nampak kemas.

‘‘Kita mengenakan pakaian yang serupa pada Sukan SEA Vietnam, tetapi tiada apa-apa masalah pun.
‘‘Tiada rungutan terhadap pakaian mereka, mungkin kali ini atlet tidak berpakaian dengan kemas,” katanya.
Beliau berkata, aspek pemilihan pakaian kelmarin telah dipersetujui atas faktor menjimatkan kos.
‘‘Saya rasa perbarisan kontinjen kita yang kelihatan kurang kemas bukan disebabkan mereka tidak memakai pakaian kebangsaan. Kalau mahu menonjolkan identiti Malaysia, saya rasa dengan bersongkok sahaja pun, ia sudah menunjukkan identiti negara kita.

‘‘Ini semua disebabkan cara berpakaian. Jika blazer dibutangkan, semuanya memakai tali leher dan bersongkok dengan kemas, kontinjen kita pasti akan nampak kemas,” katanya.
– Utusan

No comments:

Post a Comment