Wednesday, September 29, 2010

Tiada jaminan daripada Koo-Tan

PUTRAJAYA - Walaupun turun dengan status beregu No. 1 dunia, pasangan badminton negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong tidak memberi jaminan pingat emas mampu dibawa pulang daripada Sukan Komanwel XIX, yang bermula Ahad ini. 

Beregu utama negara itu bagaimanapun sekadar meletakkan sasaran untuk melangkah ke perlawanan akhir, sambil menganggap beregu utama England, Nathan Robertson-Anthony Clark mampu menjadi ancaman utama mereka pada Temasya 3-14 Oktober itu nanti.

Menurut Boon Heong, cabaran Robertson-Clark tidak boleh diambil mudah kerana beregu berpengalaman England itu sering mengheret mereka beraksi dalam pertarungan sengit dalam tiga pertemuan terdahulu, malah pada perlawanan terakhir di Terbuka Malaysia, Januari lalu mereka dipaksa berhempas pulas dalam tiga set sebelum menang 21-12, 23-25, 21-11.

Pasangan negara itu pernah dikejutkan oleh Robertson-Clark pada Terbuka Singapura, tahun lalu apabila tunduk 21-13, 19-21, 14-21.

"Apa yang paling penting buat kami adalah mengekalkan prestasi untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir, apa yang berlaku selepas itu kita tunggu saja,'' katanya ketika di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) untuk berlepas ke New Delhi, semalam.

Menurut Kien Keat pula, kekalahan kepada beregu China, Cai Yun-Fu Haifeng pada final Terbuka Jepun, minggu lalu tidak menjejaskan moral mereka untuk mencari emas di New Delhi, sebaliknya hanya menaikkan lagi semangat mereka untuk beraksi cemerlang di Sukan Komanwel nanti.

"Setakat ini persiapan kami untuk menghadapi Sukan Komanwel baik sahaja, terutama selepas baru selesai menghadapi Terbuka Jepun beberapa hari lalu.

"Tewas kepada China pada kejohanan itu hanya menyemarakkan semangat kami untuk bangkit mencari keputusan yang lebih baik di Sukan Komanwel,'' kata Kien Keat.

Bagaimanapun kata Kien Keat, keputusan yang bakal dicatat di New Delhi banyak bergantung kepada prestasi mereka pada hari sebenar perlawanan. "Saya tidak boleh katakan apa-apa ketika ini, cuma lihat sahaja pada hari perlawanan itu nanti," ujarnya.

Utusan

No comments:

Post a Comment