Thursday, September 30, 2010

Semuanya Teratur, Kata Ketua Kontinjen Malaysia Ke Sukan Komanwel

Oleh P. Vijian

NEW DELHI, 29 Sept (Bernama) -- Semuanya teratur dan berjalan lancar, itulah gambaran yang diberikan oleh Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel di New Delhi Tan Sri Abdul Halil Abdul Mutalib mengenai keadaan perkampungan sukan itu di sini.

Beliau bersama dengan kira-kira 90 atlet Malaysia tiba di sini Selasa malam untuk menyertai edisi ke-19 sukan itu yang akan bermula Ahad ini di ibu negara ini.

"Pandangan pertama saya apabila tiba di lapangan terbang agak membanggakan. Acara sambutan dan urusan pengangkutan ke perkampungan sukan itu sangat memuaskan.

"Malahan kita ada pengawal bersenjata dalam bas kita yang memberikan keyakinan terhadap keselamatan kita," katanya kepada media di perkampungan sukan itu.

Sehingga hari ini kira-kira 118 ahli sukan Malaysia telah tiba di sini dan memulakan latihannya di perkampungan sukan yang baru dibina, yang keadaannya sebelum ini menggemparkan.

Tetapi penganjur India, yang menerima tekanan kuat daripada pihak antarabangsa, sibuk memberikan wajah baru kepada perkampungan, di mana hampir 7,000 atlet dari 71 pertubuhan sukan akan tinggal dan berlatih dalam tempoh dua minggu akan datang.

Abdul Halil berkata beliau yang belum lagi menemui pengurus pasukan masing-masing untuk mendapatkan maklum balas mereka, dijangka mengadakan mesyuarat dengan pegawai Malaysia pada Rabu.

Kontinjen Malaysia akan mengambil bahagian dalam 14 acara sukan pada sukan itu yang akan diadakan dari 3 hingga 14 Okt.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment