Thursday, December 24, 2009

MSN tumpu atlit Cabaran 2010


Oleh Syed Riduan Ahmad
smriduan@bharian.com.my

Kumpulan terima bantuan penuh untuk latihan: Zolkples

MAJLIS Sukan Negara (MSN) akan memberi tumpuan khusus kepada atlit melalui Program Cabaran 2010, bukan lagi kepada jenis sukan.

Ini bererti segala bantuan kewangan dan latihan akan disalurkan untuk penyediaan atlit yang dikenalpasti bagi Sukan Komanwel dan Asia tahun depan, sekali gus memaksa persatuan sukan kebangsaan melahirkan lebih banyak atlit dan bukannya bergantung kepada satu atau dua sahaja bagi menuntut peruntukan daripada MSN.


Ketua Pengarahnya, Datuk Zolkples Embong berkata, selama ini MSN hanya memberi bantuan kewangan dan kemudahan kepada persatuan sukan kebangsaan untuk menjalankan program dan membangunkan atlit-atlit mereka.

"Jika diikutkan persatuan, mereka akan meletakkan sasaran 70 hingga 80 emas bagi mendapatkan dana," kata Zolkples selepas majlis penutup Konvensyen Sukan Kebangsaan 2009 di PWTC semalam.

"Kini, kita akan ambil pendekatan baru dan menumpukan perhatian kepada atlit. Selepas ini, kami akan mula memilih atlit-atlit berpotensi termasuk pemenang-pemenang emas di Sukan Sea Laos untuk dimasukkan dalam Program Cabaran 2010.

"Kumpulan ini akan diberi bantuan penuh oleh MSN daripada segi program latihan dan kewangan," katanya.

Pada masa sama, Zolkples turut berpuas hati dengan pencapaian keseluruhan atlit-atlit pelapis di Vientiane baru-baru ini yang dilihat dapat meneruskan kesinambungan pemburuan emas di peringkat antarabangsa.

"Mereka mempunyai potensi untuk menyerlah dalam masa dua tahun akan datang. Tapi, kita tidak boleh cepat berpuas hati dengan pencapaian ini.

"MSN akan meneruskan usaha meningkatkan mutu sukan negara dengan memanggil lebih ramai pakar-pakar dari luar negara untuk berkongsi pengalaman mereka.

Sementara itu, Zolkples menyatakan kebimbangannya terhadap acara sukan subjektif seperti taekwondo, silat dan wushu yang tidak membabitkan pertempuran.

"Mungkin kita tidak meletakkan sasaran tinggi untuk sukan seni sebegini tetapi lebih menumpukan kepada sukan tempur," katanya.

No comments:

Post a Comment