Wednesday, December 30, 2009

'Masih awal lihat program berada pada landasan tepat'


SUKAN Komanwel dan Asia pada hujung tahun depan, bakal memberi gambaran sama ada program Road To London untuk Sukan Olimpik 2012 berada pada landasan tepat.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, berkata buat masa ini terlalu awal untuk menyatakan sama ada program untuk mengejar pingat emas di Sukan Olimpik 2012 berada atas landasan atau menyimpang, di sebalik pencapaian kontinjen negara di Sukan Sea, Laos, yang berakhir 18 Disember lalu.

"Tahun depan atlit akan berdepan beberapa temasya besar dan penting seperti kejohanan badminton Piala Thomas dan kemudian Sukan Asia dan Komanwel," kata Shabery, pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Penyelarasan Program Pembangunan Belia dan Sukan di Seri Kembangan, semalam.


"Sejauh mana prestasi atlit kita di temasya utama itu akan memberi petunjuk kepada program Road To London, sama ada ia masih lagi atas landasan ataupun sebaliknya."

Pada mesyuarat itu, perwakilan dimaklumkan mengenai pelaksanaan serta perkembangan program Road To London serta jumlah peruntukan yang sudah digunakan sehingga kini.

Program itu yang membabitkan empat sukan iaitu akuatik (terjun), badminton, memanah dan lumba basikal - adalah usaha kementerian dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk melahirkan pemenang pingat emas pertama Sukan Olimpik.

"MSN sedang memantau prestasi atlit yang tersenarai dalam program itu," kata Shabery. "Bagi atlit yang di luar program, mereka masih berpeluang untuk diserapkan seandainya mempamerkan peningkatan cemerlang dalam prestasi masing-masing."BHARIAN

No comments:

Post a Comment