Thursday, October 15, 2009

MOM pilih Zolkples, Nadzmi ke China, India


KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong dan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Mohd Nadzmi Salleh, masing-masing dinamakan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk menjadi Chef-de-Mission ke Sukan Asia dan Komanwel tahun depan.


Presiden MOM, Tunku Imran Almarhum Tuanku Ja'afar, berkata kedua-dua tokoh itu dipilih berdasarkan sumbangan besar mereka terhadap kemajuan sukan di negara ini termasuk sukan badminton kekal menjadi kebanggaan negara ini.

"Kami akan mendapatkan kelulusan menteri untuk mencadangkan nama Zolkples selaku Chef-de-Mission ke Sukan Asia di Guangzhou, China tahun depan manakala bagi Mohd Nadzmi, kami akan mendapatkan persetujuan beliau," katanya di Wisma OCM semalam.


Beliau berkata, keputusan berkenaan dibuat pada mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM yang turut membincangkan rayuan persatuan berbasikal, angkat berat dan judo untuk menambah bilangan atlit Kategori A ke Sukan Sea Laos.

"Kami meluluskan dua nama atlit berbasikal iaitu Stanley Jahid (Downhill) dan Jefrey Jeny Jerniy (rentas desa) serta Zaira Zakaria dalam kategori 48 kilogram acara angkat berat. Ini adalah berdasarkan pencapaian semasa mereka," katanya.

Mengulas mengenai sukan olahraga, Tunku Imran berkata sukan itu kini berada di era kemerosotan dan pelan strategik baru perlu dicari bagi mengembalikan kegemilangan sukan itu yang sebelum ini menjadi penyumbang utama pingat untuk negara.

"Persatuan (Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia) menyenaraikan 43 atlit untuk ke Sukan Sea Laos tetapi kebanyakan mereka adalah dalam Kategori B. Bagaimanapun, MOM gusar dengan keadaan persatuan yang kini kelihatan ketandusan atlit.

"Mereka tidak lagi boleh bergantung kepada sekolah untuk menyediakan atlit dan perlu ada pelan strategik yang berkesan bagi menangani isu ini. Persatuan perlu mengkaji dengan mendalam serta memerlukan pemimpin yang inovatif dan mampu berfikir," katanya.

No comments:

Post a Comment