Monday, July 21, 2014

Punca wabak dikenal pasti

GLASGOW - Menteri Pertama Scotland, Alex Salmond menegaskan kelmarin bahawa pihak berkuasa telah mengesan punca kepada tersebarnya wabak dipercayai norovirus yang melanda Perkampungan Sukan Komanwel.

Menurut media Britain, terdapat 53 kes yang disyaki berkaitan wabak itu berlaku setakat ini di mana pekerja-pekerja di Perkampungan Atlet mendapat sakit dan cirit-birit, tetapi tiada atlet atau pegawai pasukan dijangkiti.

Salmond berkata, mereka yakin punca wabak itu telah dikenal pasti menjelang lima hari lagi Sukan Komanwel berlangsung.

Puncanya dikesan di kemudahan sementara yang digunakan sewaktu kerja-kerja pembinaan di kawasan keselamatan.

"Kami yakin kami telah mengenal pasti punca wabak itu, sebuah kemudahan sementara yang berada dalam keadaan yang tidak sepatutnya.

"Kami telah mengambil langkah-langkah perlu," kata Salmond yang yakin masalah itu akan selesai dalam masa beberapa hari lagi.

Norovirus ialah kuman paling biasa menyebabkan sakit di United Kingdom, menjangkiti antara 600,000 ke satu juta orang dalam semua peringkat umur setiap tahun.

Perkampungan Atlet dikatakan telah "beroperasi dengan normal" tetapi langkah kawalan jangkitan telah dilaksanakan.

Perkampungan itu mengandungi 700 buah rumah dan dibuka secara rasminya pada Ahad lalu. Kemudahan itu akan menempatkan 4,500 atlet dan 2,300 kakitangan sepanjang Sukan Komanwel.

Salmond berkata Sukan Komanwel itu akan berlangsung dalam kos yang telah ditetapkan iaitu 576 juta pound (RM3.1 bilion), termasuk 90 juta pound (RM489.3 juta) untuk tujuan keselamatan.

Beliau turut mengumumkan pelaburan sebanyak 3.5 juta pound (RM19 juta) dari dana rizab khas untuk mempertingkatkan perkhidmatan pengangkutan. - AFP

No comments:

Post a Comment