Wednesday, September 29, 2010

Kita mudah atasi New Zealand

KUALA LUMPUR - Pisang tidak berbuah dua kali, itu dibuktikan oleh skuad hoki lelaki negara yang membenam New Zealand 3-0 pada perlawanan persahabatan kedua di Stadium Hoki Tun Razak di sini, semalam.

Selepas gagal mempertahankan kelebihan 2-0 pada aksi pertama apabila dipaksa seri 2-2, skuad bimbingan Stephen van Huizen sudah mengambil pengajaran berguna daripadanya.
Semalam, Stephen mengekalkan Roslan Jamaluddin sebagai penjaga gol utama ekoran S. Kumar masih belum pulih daripada masalah kesihatan.

Skuad negara beraksi baik sebaik wisel permainan dibunyikan, malah memperoleh dua pukulan sudut penalti pada 30 minit pertama namun dinafikan oleh penjaga gol, Kyle Pontifex sementara satu percubaan lagi tersasar.

Gol pertama Malaysia menjelma seminit sebelum separuh masa pertama ditamatkan melalui gerakan solo Mohd. Sharun Nabil Abdullah.

Tanpa diduga, Sharun melepaskan pukulan kilas padu ke arah kiri pintu gol New Zealand bagi mendahului perlawanan.

Pakar pukulan sudut penalti negara, Mohd. Amin Rahim menggandakan kelebihan pada minit ke-41 sebelum Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin mematikan semangat melawan 'Black Stick' dengan gol ketiga pada minit ke-62 melalui pukulan kilas.

Apa yang pasti, persembahan skuad negara wajar dipuji kerana bijak menukar rentak selepas mendahului 2-0 yang menyebabkan New Zealand gagal bangkit mencari gol penyamaan.

Hakikat itu diakui Stephen yang berpuas hati dengan aksi pemainnya kerana dapat mengekalkan penguasaan bola di samping terus menyerang ke kubu skuad 'Kiwis'.

''Pemain juga dilihat bertambah yakin dengan banyak menguasai bola dan itu membantu kepada kemenangan kepada hari ini,'' katanya yang ditemui selepas perlawanan.

Bagi menyesuaikan diri dengan keadaan padang di New Delhi, Stephen memberitahu dua perlawanan persahabatan telah diaturkan iaitu bertemu Kanada dan Afrika Selatan.


Utusan

No comments:

Post a Comment