Tuesday, January 5, 2010

Zalina yakin pertahan emas boling padang Sukan Komanwel


KUALA LUMPUR - Atlet boling padang negara yang menduduki ranking ketiga dunia, Siti Zalina Ahmad yakin untuk memenangi pingat emas hatrik dalam Sukan Komanwel 2010 di India, Oktober depan.
Keyakinan itu berdasarkan pencapaian dan latihan yang telah dijalaninya sepanjang tahun lalu dan sudah bersedia untuk memberi saingan dalam perebutan emas di New Delhi nanti.
"Saya menyasarkan untuk mempertahankan emas dalam acara perseorangan dan berkeyakinan tinggi untuk melakukannya," katanya pada majlis pengumuman atlet Persekutuan Lawn Bowls Malaysia, di sini semalam.
Tambahnya, jika dia masih lagi mewakili negara dalam kategori perseorangan wanita, dia bertambah yakin untuk mengungguli kategori tersebut seperti mana yang dilakukannya pada Sukan Komanwel 2002 dan 2006.


"Jika saya mempertahankan emas pada kejuaraan kali ini, ia dianggap pencapaian bersejarah dalam sukan itu kerana setakat ini belum pernah mana-mana atlet dunia melakukan perkara demikian buat tiga tahun berturut-turut.
"Setakat ini, saya masih belum merasai tekanannya. Apa-apa pun saya yakin terhadap kemampuan diri mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada tahun empat tahun lalu," jelasnya.
Seorang lagi pemain lawn bowls sandaran negara, Nor Hashimah Ismail berkata, bukan mudah untuk mempertahankan kejuaraan pada Sukan Komanwel nanti.
"Perhatian untuk kejuaraan kali ini kena lebih sukar memandangkan tanggungjawab yang digalas semakin besar.
"Namun, dengan sokongan pelbagai pihak termasuklah Majlis Sukan Negara (MSN), Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) dan jurulatih, kami yakin untuk melakukan yang terbaik untuk mempertahankan pingat," katanya.
Hashimah memberitahu, kejohanan Terbuka Australia dan Pra Komanwel di India nanti akan menjadi persiapan penting bagi para atlet menjelang Sukan Komanwel nanti.
Bagaimanapun, dia yang beraksi dalam kategori tiga sepasukan pada Sukan Komanwel lalu, masih belum mengetahui statusnya sebagai pemain di kategori mana.
"Masih belum ketahui tetapi berkemungkinan besar dalam kategori tiga sepasukan juga.
"Apa pun, kepercayaan yang diletakkan ke atas kami menyemarakkan lagi semangat untuk terus bersaing," katanya.
Dalam pada itu, bekas juara Kejuaraan Perseorangan Dunia 2005, Nor Iryani Azmi yang kembali aktif mengakui gusar dengan sandaran PLBM terhadapnya.
"Selama tiga tahun, saya tidak menyertai mana-mana kejohanan dan ini menimbulkan rasa gementar.
"Sekarang mungkin saya terpaksa belajar dari bawah kembali, tetapi ia cuma untuk meningkatkan tahap konsisten memandangkan skill telah dimiliki," katanya.
Dia yang pernah mewakili negara dalam Sukan Komanwel Melbourne 2006 memberitahu, keyakinan untuk bermain buat negara tinggi memandangkan pengalaman yang telah diraih beberapa tahun lalu.
"Persediaan saya kali ini adalah untuk meningkatkan prestasi dan pencapaian dengan kembali aktif dalam arena sukan boling padang ini," kata Iryani.

No comments:

Post a Comment