Tuesday, January 5, 2010

PLBM-MSN bekerjasama mantapkan sukan boling padang


Ahmad Sarji (kanan) dan Zolkples Embong (dua dari kanan) berbual dengan atlet selepas majlis menandatangani kontrak di antara PLBM dan MSN di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR - Persekutuan Lawn Bowls (PLBM) Malaysia meniupkan keazaman tahun baru untuk menjalinkan 'jambatan emas' yang lebih kukuh antara Majlis Sukan Negara (MSN) memandangkan prestasi para atlet sukan itu harus diutamakan.
Presiden PLBM, Tun Ahmad Sarji Hamid berkata, jalinan akrab itu penting kerana pemilihan atlet boling padang dapat dilaksanakan secara terbaik seterusnya membantu MSN meraih pingat menjelang Sukan Komanwel dan Kejuaraan Lawn Bowls Dunia pada 2012 nanti.


Katanya, di sebalik pertelingkahan yang terjadi di antara beberapa persatuan sukan dengan MSN kebelakangan ini, persatuan itu mengambil tindakan berbeza agar kecemerlangan di peringkat antarabangsa dan nasional diraih.
"Kami berharap 'jambatan emas' itu akan dipelihara dengan baik dan tidak ada dalang-dalang yang akan masuk dari pintu belakang sehingga menyebabkan perselisihan fahaman terjadi di antara MSN dan kami.
"Kami juga akan sedaya-upaya mengelak persengketaan di dada akhbar sebaliknya lebih menumpukan kepada proses menajamkan prestasi para atlet boling padang negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis pengumuman atlet Persekutuan Lawn Bowls Malaysia dan majlis menandatangani kontrak persefahaman bersama MSN, di sini semalam.
Sebanyak 18 atlet elit dan 17 atlet pelapis termasuklah pemain ranking pertama dunia, Safuan Said dan rangking ketiga dunia wanita, Siti Zalina Ahmad tersenarai untuk menjalankan latihan dengan lebih giat seterusnya bertanding di pelbagai kejohanan dalam dan luar negara.
Pada majlis yang turut dihadiri Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong itu, buku kod etika lawn bowls talah diperkenalkan.
Ahmad Sarji turut berkata, majlis yang berlangsung semalam itu turut menjadi simbolik harapan kedua-dua belah pihak agar persefahaman, kebajikan serta pretasi para atlet dipertingkatkan.
Sementara itu, Ahmad Sarji turut memberitahu, Persekutuan Lawn Bowl Malaysia telah menetapkan sasaran awal pingat yang akan dikumpulkan atlet lawn bowls pada Sukan Komanwel nanti.
"Kita sasar untuk mengumpul pingat emas menerusi acara perseorangan wanita dan lelaki. Malah kita yakin dengan kemampuan Siti Zalina Ahmad untuk mengutip pingat emas seterusnya mengulangi kejayaan dalam Sukan Komanwel 2002 dan 2006.
"Bagi acara berpasangan kedua- dua kategori pula kita sasarkan gangsa, namun alangkah baik jika kita mampu meraih perak mahupun emas. Begitu juga dengan acara bertiga pasukan.
"Kami akui sasaran ini agak 'ambitious' tetapi ini merupakan sasaran awal setakat ini dan kita akan maklumkan jika terdapat pindaan berdasar prestasi dan perkembangan atlet," kata Ahmad Sarji lagi.
Dalam perkembangan sama, Zolkples yang hadir menandatangani kontrak tersebut turut menyambut baik sasaran yang telah ditetapkan Persekutuan Lawn Bowl Malaysia.
"Boling padang merupakan sukan yang tidak pernah mengecewakan negara dalam Sukan Komanwel.
"Tahun ini kita sasarkan 10 pingat emas, bagaimanapun menerusi sasaran yang ditetapkan persatuan ini, kita mungkin mempunyai impian untuk menambah satu lagi pingat emas," jelasnya.
Beliau turut memuji kesungguhan Persekutuan Lawn Bowl Malaysia untuk menerbitkan sendiri buku kod etika sukan lawn bowls secara terperinci bagi kegunaan atlet dan jurulatih negara.

No comments:

Post a Comment