Tuesday, January 5, 2010

NSAM mahu kekal skuad elit

Oleh Mohd Ali Majid
bhsukan@bharian.com.my


SKUAD penembak elit wanita sedia ada (dari kiri) Nur Ain, Nur Suryani, Shahera dan Muslifah bakal galas cabaran negara pada Sukan Asia dan Komanwel hujung tahun ini.

Galas cabaran negara pada Sukan Asia dan Komanwel hujung tahun ini

PERSATUAN Menembak Kebangsaan (NSAM) mahu mengekalkan penembak elit sedia ada bagi menggalas cabaran negara pada Sukan Asia dan Sukan Komanwel hujung tahun ini.



Antara mereka termasuk Hasli Izwan Amir Hassan, Hafiz Adzha, Khalel Abdullah (pistol), Mohd Zubair Mohamad, Shahrizal Ishak, Mohd Norahimi Abdul Halim (raifal).


Penembak wanita pula terdiri daripada Nur Suryani Mohd Taibi, Shahera Rahim Raja, Mislifah Zulkifli, Nur Ain Ibrahim, Nur Ayuni Farhana Abd Halim (raifal), Bibiana Ng Pei Chin, Joseline Cheah Lee Yean dan Siti Nur Mashita Mohd Badrin.



Setiausaha Eksekutif NSAM, Mejar (B) Jasni Shaari berkata, walaupun mereka gagal membawa pulang emas pada Sukan Sea di Laos, Disember lalu, khidmat mereka masih diperlukan bagi menghadapi dua temasya sukan itu.

Katanya, kegagalan meraih emas pada Sukan Sea Laos bukan kegagalan sepenuhnya, sebaliknya nasib tidak menyebelahi mereka berdasar kepada markah yang hampir sama dengan pemenang emas dalam setiap acara yang dipertandingkan.
"Selain faktor nasib, kesilapan teknikal pengelola juga antara punca menyebabkan kita hilang pingat emas dan terpaksa berpuashati dengan enam perak yang diperolehi," katanya.

"Semua perkara yang berlaku diambil kira dan akan diperbaiki menjelang kejohanan terbesar itu di samping setiap penembak sudah menyedari kesilapan yang mereka lakukan," tambahnya.

Bagaimanapun, menurut Jasni, semuanya terpulang kepada Majlis Sukan Negara sama ada mahu mengekalkan penembak elit berkenaan atau sebaliknya.

Katanya, bagi mempersiapkan penembak berkenaan, mereka akan dihantar menyertai beberapa kejohanan bertaraf dunia dan antara yang terdekat adalah Kejohanan Persekutuan Komanwel Ke-8 di New Delhi pada pada 17 hingga 28 Februari ini.

No comments:

Post a Comment