Thursday, January 14, 2010

Mun Yee sasar Sukan Komanwel, Asia 2010


Mun Yee

PUTRAJAYA - Jaguh penerjun wanita negara, Leong Mun Yee berazam mahu menjadikan tahun 2010 sebagai tahun kecemerlangan prestasinya di peringkat antarabangsa.

Dengan kehadiran pelbagai kejohanan besar tahun ini, dia berharap dapat menterjemahkan pencapaian terbaiknya di dua kejohanan terbesar tersebut.
Tambahnya, walaupun telah meraih kejayaan berulang kali di Sukan SEA sejak tahun 2001, namun impiannya untuk meraih pingat di Sukan Komanwel dan Sukan Asia masih belum kesampaian.

''Saya bertekad untuk berjaya meraih pingat buat pertama kali di Sukan Komanwel dan Sukan Asia kerana sehingga hari ini saya masih gagal untuk berbuat demikian.


''Diharapkan dengan latihan serta kerja keras dalam tahun ini, harapan itu dapat direalisasikan buat pertama kalinya,'' katanya.

Bagi mencapai impiannya itu, Mun Yee memberitahu yang dia akan menyertai pelbagai pertandingan di peringkat antarabangsa sebagai pendedahan terbaik kepada dirinya.

''Kejohanan pertama yang saya akan sertai pada tahun ini adalah Super Series Kejohanan Terjun Antarabangsa FINA di Dubai dalam bulan Mac ini.


''Ramai penerjun berkelas dunia dari China, Australia dan Amerika Syarikat akan mengambil bahagian di kejohanan tersebut,'' katanya.
Menurutnya, dia tidak meletakkan sebarang sasaran kemenangan dalam kejohanan berkenaan kecuali memperbaiki lagi prestasinya.


''Memang sukar untuk meraih sebarang pingat kerana saya diberitahu sebanyak lapan penerjun terbaik dunia turut serta.
''Saya cuma berharap dapat gunakan manfaat dan pengalaman dari kejohanan itu sebaik mungkin sebelum menghadapi Sukan Komanwel dan Sukan Asia,'' katanya.

Sebelum itu, Mun Yee yang ditemui di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putarajaya (PICC) telah menerima hadiah sebanyak RM5,000 melalui Bayaran Skim Hadiah Kemenangan Hadiah Sukan (Shakam), semalam.
Dia berjaya meraih dua pingat emas di Sukan SEA XXV Laos melalui acara 3 meter papan anjal seirama wanita berpasangan dengan Ng Yan Yee dan 10 meter platform serentak melalui gandingannya, Pandelela Rinong.

UTUSAN

1 comment: